Jururawat kerjaya mulia

 

Kolej Lincoln yang ditubuhkan pada tahun 2004 menjadikan bidang sains kesihatan sebagai perniagaan utamanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Lincoln, Prof. Datuk Dr. Badaruddin Nordin, penubuhan kolej ini bertujuan melatih individu menjadi jururawat dan kakitangan terlatih dalam industri kesihatan.
''Melihat kepada kekurangan tenaga kerja dalam bidang ini mendorong kami menerajui bidang ini yang dianggap mulia dan dianggap tiket ekspres menuju akhirat kerana tugas dan peranannya," katanya.
Tegas Badaruddin, matlamat asal penubuhan kolej ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan menyambung pengajian dan seterusnya berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
''Memandangkan ramai generasi muda hari ini berminat untuk menyambung pengajian tetapi tiada tempat untuk mereka di IPT, jadi kita memberikan peluang ini melalui kolej ini,''ujarnya.
Katanya, di kolej itu pelajar akan didedahkan dengan proses pembelajaran dan juga latihan praktikal selama tiga tahun oleh tenaga-tenaga pengajar yang berpengalaman.
Pelajar yang mendaftar di Kolej Lincoln juga tidak perlu membuat sebarang bayaran yuran semasa pendaftaran.
''Pada permulaan kami sendiri yang menampung segala keperluan kemasukan pelajar termasuklah tiket bagi pelajar yang jauh, asrama dan juga wang perbelanjaan,'' katanya.
Jelasnya lagi, peluang dalam bidang penjagaan kesihatan adalah besar memandangkan disebabkan permintaan tinggi terhadap jururawat Malaysia di luar negara.
''Di kolej ini, kita memberi satu laluan kerjaya yang bermanfaat dalam bidang industri sains kesihatan termasuk bidang kejururawatan dan juga farmasi kepada generasi muda,'' katanya.
Tegasnya, pelajar yang mendaftar di kolej itu tidak perlu membuat sebarang bayaran tetapi akan diberikan pinjaman untuk tujuan pembelajaran.
''Kita juga menanggung segala perbelanjaan mereka sebelum mendapat pinjaman tersebut termasuklah tempat tinggal, wang perbelanjaan serta wang saku," jelasnya.
Katanya, selain memberi peluang kepada pelajar-pelajar dalam negara ia juga terbuka kepada pelajar di luar negara untuk belajar dalam bidang mulia ini.
"Malah kita berhasrat dalam tempoh terdekat untuk membuka cawangan-cawangan Kolej Lincoln di Kenya, India, Oman, Bahrain dan Australia," ujar beliau.
Jelasnya, pelajar-pelajar yang menuntut di kolej itu juga berpeluang untuk membuat latihan praktikal di dalam dan juga luar negara.
''Ini semua memberi pengalaman baru kepada pelajar serta mampu menyuntik semangat baru dalam hidup mereka supaya terus bersemangat,'' ujarnya.
Selain itu, pelajar yang lulus cemerlang pula mendapat tawaran untuk bekerja di luar negara termasuklah di Arab Saudi dan juga India.
Katanya, sehingga kini, Kolej Lincoln telah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan bagi menggunakan hospital-hospital di bawahnya bagi tujuan latihan praktikal para pelajar.
''Kita komited dalam menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti melalui gabungan mantap kakitangan akademik dan bukan akademik,'' ujarnya.
Mereka yang mengikuti pengkhususan ini diberi latihan teori dan praktikal. Penekanan turut diberikan kepada subjek klinikal bagi melahirkan jururawat yang berkebolehan.
Sebagai satu disiplin praktikal, pelajar diberi pendedahan awal kepada pesakit secara berterusan selain berpeluang melakukan penyelidikan kejururawatan dan proses kejururawatan.