Gaji lumayan jadi tarikan



  • Noorshakinah Hassan Basri (kiri) bersama rakan setugas ketika berkhidmat
di King Faisal Research Hospital, Arab Saudi.



TEMPOH enam tahun bekerja di Arab Saudi sebagai jururawat memberikan banyak pengalaman berharga yang tidak mungkin diperoleh di pusat perubatan tempatan selain dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi menepati standard di negara itu.
''Saya menganggap bekerja di Arab Saudi bukan untuk mengejar gaji lumayan semata-mata, sebaliknya ia memberi pendedahan kepada situasi persekitaran yang berbeza terutama dari segi budaya, bahasa, kehidupan serta bergaul dengan pelbagai kakitangan perubatan di seluruh dunia,'' kata Noorshakinah Hassan Basri.
Dia merupakan antara jururawat tempatan yang pernah berkhidmat di King Faisal Research Hospital, Arab Saudi.
Noorshakinah, anak jati Kuala Lumpur, sanggup berkorban meninggalkan keluarga tercinta di Malaysia demi menimba pengetahuan dan pengalaman bekerja di perantauan serta mencari peluang lebih baik meningkatkan kerjaya.
Ketika memulakan tugas di Arab Saudi pada akhir 1999, beliau ditawarkan dengan gaji RM7,965 sebulan dan insentif lain seperti tempat tinggal serta pengangkutan percuma.
''Memang pada awalnya sangat sedih kerana rindukan keluarga terutama ibu yang sedang sakit di Malaysia, tetapi saya tekadkan hati demi mencari yang terbaik untuk diri sendiri,'' ujarnya yang kini bergelar pensyarah di Kolej Lincoln, Subang Jaya.